Seperti yang telah kita ketahui, selain daripada untuk membentuk akidah yang cemerlang, kukuh, mantap dan teguh, serta untuk membentuk cara peribadatan yang betul kepada Allah s.w.t, sebab lain Islam diturunkan kepada manusia ialah untuk melahirkan manusia yang berakhlak mulia dan berperibadi unggul. Ini memberikan gambaran bahawa, akhlak mulia adalah salah satu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Dengannya seluruh kehidupan di dunia akan harmoni dan tenang. Lantaran itu, untuk mewujudkan sebuah masyarakat hadhari, maka aspek kecemerlangan peribadi mesti diambil berat oleh semua umat Islam.
Dalam usaha untuk membentuk manusia menjadi yang terbaik, aspek utama yang perlu ditititberatkan ialah aspek keimanan dan ketaqwaan yang mantap kepada Allah s.w.t. Untuk mewujudkan aspek ini, kita perlu menunaikan segala perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya. Dengan kekuatan sifat ini, akan lahirlah manusia yang mempunyai kekuatan dalaman dan luaran, yang sudah pasti akan menjadi manusia yang terbaik dalam segala aspek. Kehebatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t akan menjauhkan diri daripada sebarang unsur-unsur yang boleh melemahkan sifat dan tingkahlaku seseorang manusia. Hal ini adalah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 96 :
Bermaksud : Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi
Ciri kedua yang dapat melahirkan kehebatan peribadi juga dapat dilihat daripada muslim yang suka melaksanakan ibadat dengan sebanyak-banyaknya serta melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Kedua-dua perkara ini secara langsung akan menjadikan seseorang itu mempunyai akhlak yang baik, kerana ia akan menjauhkan dirinya daripada melakukan sebarang perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w sebagai contoh umpamanya, baginda banyak melakukan ibadat kepada Allah, kerana baginda faham, tujuan manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah s.w.t semata-mata. Kekuatan amalan inilah yang akan melahirkan manusia muslim yang sejati. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baiyyinah ayat 5 :
Bermaksud : Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.
Keunggulan peribadi seseorang muslim yang ketiga adalah peribadi yang berasaskan kepada keunggulan sifat dan peribadi rasul teragung, iaitu Rasulullah s.a.w. Kehebatan sifat peribadi baginda tidak dapat dilawan oleh sahabat apatah lagi oleh musuh. Pada dirinya tiada satupun yang pincang dan cacat celanya. Kesempurnaan sifat baginda telah dipelihara oleh Allah s.w.t, dengan menjadikan baginda maksum.Tiada seorang pun manusia di dunia ini dapat menandingi sifat baginda, walaupun sedikit. Malah, ramai orang-orang barat mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w dalam beberapa buah buku yang ditulis oleh mereka. Jesteru itu, maka sewajarnyalah, setiap muslim harus menjadikan akhlak Rasulullah s.a.w sebagai idola dalam kehidupan seharian. Hal ini amat jelas, sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab ayat 21 :
Bermaksud : Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu satu contoh ikutan yang baik.
Keempat, untuk melahirkan seorang muslim yang mempunyai kehebatan peribadi, mereka perlu menjadi seorang pemimpin yang disegani, yang menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan, serta mengikuti semua garisan yang telah digariskan oleh Islam. Mana-mana pemimpin yang berwibawa mereka akan dijadikan contoh dan teladan oleh orang yang dipimpinnya. Pemimpin seperti ini bukan sahaja akan diikuti, malah akan diingati sepanjang zaman. Umpamanya Khalifah-khalifah daripada kalangan Khulafa’ ar-Rasyidin, sehingga hari ini mereka dikenali oleh seluruh dunia Islam. Anugerah Allah kepada mereka sifat bijak berfikir, bertindak, membuat keputusan, akan dapat melahirkan sebuah masyarakat hadhari yang disegani, dicontohi dan menjadi ikutan oleh semua rakyat. Bagi setiap muslim, mereka mesti menjadikan pemimpin yang mempunyai kehebatan dalam kepimpinan sebagai contoh dan teladan. Kepimpinan mereka akan disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini bersesuaian dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w :
Bermaksud : Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan disoal mengenai kepimpinannya.
Salah satu kelebihan peribadi yang unggul ialah, mereka mesti mempunyai kekemasan diri sama ada kekemasan dalaman mahupun kekemasan luaran yang tiada tolak bandingnya dengan orang lain. Golongan ini akan menjadi cermin kepada masyarakat. Jika mereka baik, maka baiklah masyarakat, tetapi jika mereka perosak, maka rosaklah masyarakat. Kekemasan yang dimaksudkan ialah dari segi berpakaian, tuturkata, percakapan, pergaulan, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Ini umpamanya, kisah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang disebutkan oleh Allah s.w.t dalam al-Qur’an. Jika semua lapisan masyarakat dapat mencontohi mereka, maka akan lahirlah sebuah masyarakat hadhari, iaitu masyarakat yang boleh dijadikan contoh oleh masyarakat yang lain. Hal ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w :
Bermaksud : Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia suka kepada keindahan.
Keunggulan peribadi yang lain ialah betapa pentingnya menguasai kemahiran berkomunikasi. Perkara ini menjadi asas melahirkan masyarakat yang berkualiti. Mereka perlu bijak untuk berdepan dengan semua lapisan masyarakat, sama ada kecil, besar, tua muda, berpendidikan atau yang tidak berpendidikan. Jika kita kaji sirah Rasulullah s.a.w, salah satu kehebatan baginda ialah baginda dapat berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat dengan cara yang terbaik. Baginda dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak, remaja, orang tua, lelaki dan wanita, sahabat mahupun musuh. Kemahiran komunikasi ini telah menjadikan Rasulullah s.a.w manusia agung di dunia. Lantaran itu, kita mesti menjadikan kemahiran ini satu pendekatan untuk mencapai masyarakat hadhari. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Furqan ayat 63 :
Bermaksud : Dan apabila orang-orang ( berkelakuan kurang adab ) hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat
Kehidupan seorang muslim bukan sahaja hanya di dunia, tetapi melebihi kehidupan sehingga ke akhirat. Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, mereka perlu memiliki keunggulan peribadi yang tiada bandingannya. Bukan senang mahu senang dan bukan susah untuk susah. Mahu kebahagiaan di akhirat, mereka perlu memiliki sifat peribadi yang unggul, seperti yang dimiliki oleh para sahabat, solihin, dan mereka-mereka yang terdahulu. Abdul Rahman bin Auf, telah dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w kerana beliau mempunyai kehebatan diri yang tiada tandingannya. Jesteru itu, kita sering memohon kepada Allah s.w.t supaya dianugerahkan oleh Allah s.w.t kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 201 :
Bermaksud : Dan di antara mereka ada yang ( berdoa ) dengan berkata :”Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami dari azab api neraka
Sebagai kesimpulannya, untuk melahirkan masyarakat hadhari yang cemerlang, maka semua umat Islam perlu melengkapkan diri dengan peribadi yang unggul, dan keunggulannya dapat dicapai jika kita dapat mengikuti ciri-ciri berikut, iaitu :
Pertama, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t
Kedua, melaksanakan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh,
Ketiga, menjadikan akhlak Rasulullah sebagai contoh ikutan,
Keempat, memiliki kepimpinan yang cemerlang,
Kelima, memantapkan kekemasan diri,
Keenam, memilkiki kemahiran berkomunikasi, dan
Ketujuh, sentiasa memohon kebahagiaan di dunia dan di akhirat daripada Allah s.w.t