Khamis, 30 Julai 2009

Kisah Nabi Yusuf Dengan Saudara-saudaranya

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Nabi Yusuf a.s adalah putera ketujuh daripada dua belas orang anak Nabi Yaakub a.s. Baginda dikurniakan Allah s.w.t dengan rupa paras yang cantik, bertubuh tegap dan pandai mentakwil mimpi. Baginda juga sangat dikasihi oleh ayahandanya berbanding dengan saudara-saudaranya yang lain. Keadaan ini telah menyebabkan saudara-saidara Nabi Yusuf a.s merasa iri hari dan mereka merancang untuk menyingkirkan Nabi Yusuf a.s dari hati Nabi Yaakub a.s.

Pada suatu hari, saudara Nabi Yusuf a.s telah meminta izin Nabi Yaakub a.s untuk membawa Nabi Yusuf a.s berjalan-jalan di luar kota. Setelah mendapat persetujuan Nabi Yaakub a.s, mereka mula membawa Nabi Yusuf a.s ke suatu tempat untuk ditinggalkan. Setelah tiba di tepi sebuah perigi yang dirancangkan, saudara-saudara Nabi Yusuf a.s telah menanggalkan pakaian baginda dan melemparkan baginda ke dalam perigi tersebut tanpa menghiraukan tangisan adindanya. Tinggalkan Nabi Yusuf a.s di situ seorang diri.

Pada petang harinya, saudara-saudara Nabi Yusuf a.s kembali ke rumah tanpa Nabi Yusuf a.s. Mereka mernunjukkan pakaian baginda yang berlumuran dengan darah serigala yang telah dibunuh oleh mereka sambil berkata: “Wahai ayahanda. Alangkah sialnya hari ini bagi kami, kerana kekhuatiran yang telah ayahanda katakan kepada kami telah menjadi kenyataan. Yusuf telah dibaham oleh serigala ketika dia sedang menjaga pakaian kami. Oh ayahanda, kami telah gagal menepati janji kami.” Nabi Yaakub berkata: “Sesungguhnya kamu semua telah mengikut hawa nafsumu dan telunjuk syaitan.” Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 19 yang berbunyi:

بسم الله الرحمن الرحيم
وجاءو عـلى قـمـيصه بدم كذب قـال بل سولت لكم أنفسكم أمرا فصبر جـميل والله المستعان عـلى ما تصفـون

Bermaksud: Mereka datang membawa baju yang berlumuran dengan darah palsu. Yaakub berkata: Sebenarnya dirimu sendiri yang memandang baik perbuatan yang buruk dan kepada Allah sahajalah dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.

Setelah tiga hari berada dalam perigi tersebut, Nabi Yusuf a.s telah ditemui oleh kafilah-kafilah Mesir yang berehat di situ untuk mendapatkan minuman bagi mereka dan binatang ternakan mereka. Kafilah tersebut telah membawa Nabi Yusuf a.s ke Kota Mesir dan menjualnya di pasar tersebut dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda telah dibeli oleh pembesar Mesir dan mejadikannya sebagai anak angkat.

Tinggallan Nabi Yusuf a.s di situ sehingga remaja. Baginda telah difitnahkan cuba mencabul kehormatan isteri pembesar tersebut sehingga disumbat ke dalam penjara selama beberapa tahun. Setelah keluar dari penjara, Nabi Yusuf a.s dilantik sebagai menteri kewangan Mesir. Setelah negara Palestin mengalami kemarau yang teruk, saudara-saudara Nabi Yusuf a.s datang membeli gandum di gudang pemerintah yang dijaga oleh Nabi Yusuf a.s. Mereka langsung tidak mengenali adikandanya. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 59 yang berbunyi:

بسم الله الرحمن الرحيم
وجـاء إخوة يوسف فـد خـلوا عـليه
وعـرفـهـم وهـم لـه منكرون

Bermaksud: Dan saudara-saudara Yusuf a.s datang ke Mesir, lalu mereka masuk ke tempatnya. Maka Yusuf mengenali mereka, sedangkan mereka tidak mengenali Yusuf.

Saudara-saudara Nabi Yusuf berkata: “Wahai paduka tuan. Negeri kami mengalami kekurangan bekalan makanan. Oleh itulah kami telah datang ke sini untuk meminta ihsan tuan. Nabi Yusuf a.s berkata: “Adakah kamu masih ingat lagi tentang perlakuan kamu terhadap adikmu Yusuf? Tatkala kamu melemparkan dia ke dalam perigi yang gelap tanpa menghiraukan tangisannya?”

Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s tercengan sambil berkata: “Adakah engkau Yusuf? Nabi Yusuf menjawab: “Benar. Akulah Yusuf. Allah s.w.t telah mengakhiri segala penderitaaku. Hasil daripada segala kesabaranku menempuhi segala ujian dari-Nya.

Mereka berkata lagi: Sesungguhnya kami telah berdosa terhadap dirimu. Sekarang terserahlan kepadamu untuk menghukum segala perbuatan kami terhadap dirimu.

Yusuf menjawab: Tiada faedahnya menyesali segala apa yang telah terjadi. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kamu. Nah, ambillah bajuku ini dan usapkanlah ia pada kedua belah mata ayahanda. Insya Allah matanya akan terang kembali, kemudian bawalah semua keluarga kita ke sini secepat mungkin.

Tanpa berlengah lagi, saudara-saudara Nabi Yusuf a.s pulang ke rumah dan melakukan segala suruhan Nabi Yusuf a.s. Dengan izin Allah s.w.t, mata ayahanda mereka boleh melihat semula. Mereka menceritakan perjalanan mereka menemui Nabi Yusuf. Disampaikan juga pesanan Nabi Yusuf a.s supaya mereka semua berhijrah ke Mesir dan tinggal di istana bersama Nabi Yusuf a.s.

Bersiap sedialah Nabi Yaakub a.s menuju ke Mesir dengan keluarganya. Setelah berjumpa, kedua beranak tersebut berpeluk-pelukan sambil menangis kerana terlalu gembira. Mereka semua merebahkan diri bersujud tanda syukur kepada Allah s.w.t. Tinggallah Nabi Yusuf sekeluarga dengan aman dan tenteram.

Daripada cerita di atas, dapatlah saya buat beberapa kesimpulan,
1. Jangan bersifat iri hati dan dengki kerana ianya adalah sifat syaitan
2. Kita hendaklah bersabar dengan setiap ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah kepada kita
3. Setiap ujian daripada Allah s.w.t mengandungi hikmatnya yang tersendiri

Saya akhiri cerita ini dengan serangkap pantun yang berbunyi;

Jika tuan pergi ke pasar,
Belikan saya sebilah parang,
Jika tuan bersifat sabar,
Tentu Allah akan sayang.

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tiada ulasan:

Catat Ulasan