Khamis, 30 Julai 2009

Kisah Qarun Yang Banyak Harta

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عـليكم ورحمة الله وبركاته

Yang mulia, tuan pengerusi, barisan para hakim yang arif lagi bijaksana, seterusnya hadirin-hadirat yang saya kasihi sekelian.

Dengarlah wahai tuan-puan,
Ini kisah satu cerita,
Qarun seorang lelaki budiman,
Dianugerahi Allah banyak harta.

Mulanya beriman tak terkata,
Kepada ajarannya Nabi Musa,
Setelah banyak mendapat harta,
Mulalah sombong tak terkira.

Berdirinya saya di sini pada pagi yang sungguh bertuah ini ialah untuk menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “Kisah Qarun Si Kaya-raya”.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Qarun adalah seorang lelaki daripada kaum Nabi Musa a.s yang beriman kepada Allah. Beliau dianugerahkan rezeki dan kekayaan yang melimpah-ruah hasil daripada mencairkan lembu emas dengan pohon herba yang terdapat di Sungai Nil. Beliau juga adalah kaum kerabat Nabi Musa a.s. Setelah menjadi kaya, Qarun semakin sibuk mengumpulkan harta dan lupa kepada perintah Allah s.w.t.

Selepas kematian Fir’aun dan tenteranya, Nabi Musa a.s telah menghantar sepasukan tentera ke negeri Mesir untuk menaklukinya. Qarun juga turut serta dalam pasukan itu. Namun, sebaik sahaja tiba di sana, Qarun mula mengumpulkan harta kekayaan. Dalam masa yang singkat sahaja, hartanya telah melimpah-ruah. Dia juga telah membina sebuah gedung harta yang sangat besar. Setelah siap, puluhan keldai dan unta digunakan untuk memindahkan hartanya ke sana. Manakala anak kunci gedung tersebut pula diangkat oleh empat puluh orang lelaki yang gagah.

Hadirin dan hadirat sekelian.

Berita kekayaan Qarun telah sampai kepengetahuan Nabi Musa a.s. Lantaran itu, Nabi Musa a.s telah menghantar wakilnya untuk meminta Qarun mengeluarkan zakat. Apabila diajukan perintah tersebut, Qarun telah mengherdik wakil itu dengan bengisnya, “ Wahai kaum yang papa, aku sedikit pun tidak akan beri habuan hartaku kepada kamu. Nyah kamu dari sini.”

Sikap bakhil Qarun ini telah dikesali oleh Nabi Musa a.s dan pengikutnya. Sekumpulan Bani Israil yang beriman telah menemui Qarun dan menasihatinya supaya membayar zakat. Mereka berkata: “Wahai Qarun, janganlah engkau sombong dan bongkak dengan kekayaanmu, Allah tidak suka kepada orang yang membanggakan diri. Keluarkanlah zakat dan bantulah golongan fakir dan miskin daripada kaummu.”

Qarun pula berkata: “Wahai saudara semua, aku tidak perlukan nasihat kamu semua. Sesungguhnya aku kaya kerana kepandaianku, bukan daripada kurniaan sesiapa pun.” Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Qasas ayat 78 yang berbunyi:
بسم الله الرحمن الحيم

قـال إنما أوتيته عـلى عـلم عـندى

Maksudnya: Qarun berkata: “Sesungguhnya aku diberi harta ini kerana ilmu yang ada padaku.”

Hadirin dan hadirat sekelian.

Qarun semakin riak. Dia mula menunjuk-nunjukkan hartanya kepada kaum Bani Israil dengan memakai persalinan dan barang kemas yang mahal setiap kali keluar rumah. Keadaan ini menyebabkan Bani Israil yang lemah imannya sangat-sangat berhajat dan hanya bertuah sekiranya mereka menjadi kaya seperti Qarun. Sepatutnya Qarun bersyukur dengan nikmat kekayaan yang diperolehinya, bukan menunjuk-nunjuk.

Ya hadirin dan hadirat sekelian.

Pada suatu hari, Qarun telah menerpa ke depan semasa Nabi Musa a.s sedang berkhutbah, lalu berkata: “ Wahai Musa, apakah hukuman orang yang melakukan perzinaan?. Dengan senang hati Nabi Musa menjawab: “Mereka akan direjam mati sekiranya terbukti mereka bersalah.” Qarun bertanya lagi: “Walaupun dia seorang Nabi?” Nabi Musa menjawab: “Benar, walaupun dia seorang Nabi.” Qarun memanggil perempuan itu dan membawanya ke hadapan. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri. Qarun berkata: “Sesungguhnya Musa telah melakukan perzinaan dengan perempuan ini. Oleh itu, dia perlu direjam.”

Lantas Nabi Musa a.s menyoal perempuan tersebut: “Wahai perempuan yang malang, siapakah yang membelah lautan untuk kaum Bani Israil”? Tanpa ragu-ragu perempuan itu menjawab: “Engkaulah orangnya Musa”. Tiba-tiba perempuan itu sedar di atas kesilapannya dan menceritakan bahawa dia telah bersubahat dengan Qarun untuk memfitnah Nabi Musa. Nabi Musa berkata kepada Qarun: “Wahai Qarun, adakah engkau mengaku bersalah? Sekiranya engkau masih berdegil, nescaya bumi ini akan menelan kamu.”

Dengan angkuh Qarun tidak mengakui kesalahannya. Nabi Musa a.s memerintahkan bumi menelan Qarun dan hartanya. Dengan izin Allah s.w.t, bumi yang dipijak oleh Qarun terus merekah. Orang ramai bertempiaran lari, tetapi Qarun masih belum bertaubat. Akhirnya seluruh jasad Qarun telah ditelah oleh bumi bersama dengan hartanya.

Hadirin dan hadirat sekelian.

Demikianlah kisah kebakhilan Qarun yang menyebabkan dirinya terjerumus ke dalam kebinasaan. Semoga kisah ini menjadi teladan kepada kita semua.


Dari cerita tadi dapatlah diberi beberapa kesimpulan.

1. Janganlah kita bersifat sombong dan bongkak dengan kekayaan yang dimiliki
2. Kita hendaklah bersyukur dengan pemberian Allah dan jangan sesekali bersikap riak
3. Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t dengan membayar zakat.

Saya akhiri cerita ini dengan serangkap pantun yang berbunyi:

Kalau ada seekor nyamuk,
Bunuhlah ia dengan racun,
Kalau ada harta yang banyak,
Jangan jadi macam Qarun.

Sekian, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan